Sunday, July 19, 2009

Stesen Hibrid Solar Pertama Di Malaysia

Gabungan empat kombinasi janaan tenaga berbeza iaitu sistem hibrid solar, turbin angin, sistem bateri dan diesel di Pulau Perhentian, Besut mencatat sejarah sebagai stesen pertama seumpamanya di Malaysia yang berjaya beroperasi sepenuhnya.

Projek pembangunan sistem berkenaan bernilai RM12.67 juta dibiayai secara bersama Kerajaan Pusat melalui tabung Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik bersama-sama Kerajaan Negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi hadiah cukup bermakna kepada negara khasnya yang ketika ini menyambut ulangtahun kemerdekaan Ke-50.

Menteri Besar berkata demikian di Majlis Perasmian Sistem Hibrid Solar & Kincir Angin, di Perkarangan Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Sri Che Khalib Mohamed Noh dan Ahli Lembaga Pengarah TNB, Tan Sri Dato’ Lau Yin Pin.

Menurut Dato’ Seri Idris, Pulau Perhentian dipilih untuk projek berkenaan kerana ia merupakan lokasi yang sesuai memandangkan projek itu disasarkan kepada penduduk tempatan.

“Projek seperti itu akan di adakan di tempat lain, sekiranya keberkesanan dalam penggunaan guna semula tenaga berjaya”, katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Stesen tersebut menempatkan sistem hibrid berkapasiti solar 100kilowatt (kW), dua turbin angin mampu menjana kuasa sehingga 100kW setiap satu, dua generator berkeupayaan 200kW dan satu generator berkeupayaan 150kW serta bateri yang boleh menyimpan tenaga elektrik sebanyak 480kW.

Melalui sistem itu, sekiranya tenaga solar tidak berupaya membekalkan elektrik terutamanya pada musim tengkujuh, penjanaan kuasa akan diambil alih oleh turbin angin dan seterusnya kepada janakuasa diesel yang berfungsi secara automatik tanpa mengganggu kelancaran bekalan kepada para penduduk.

No comments: